Di Mana DIA Di Hatiku?
Karya Pahrol Mohd Juoi
1. Jalan Mujahadah Itu Indah
Jalan menuju Allah ertinya jalan menuju syurga. Syurga itu tidak ternilai harganya. Perumpamaannya umpama kaca dengan permata. Kaca itu murah dan mudah didapati di mana-mana. Tetapi permata itu mahal, amat sukar untuk mendapatkannya.
Sudah ditakdirkan, jalan menuju Allah penuh dengan godaan, ujian dan kesukaran. Tetapi apakah kita sengaja menempah susah? Tidak! Kita hanya rela dan tega menerima kesusahan yang sementara demi kesenangan abadi. Inilah tradisi orang bijaksana. Sedangkan orang yang bijaksini rela mengorbankan kesenangan abadi di sana (akhirat) hanya kerana inginkan kesenangan disini (dunia).
Lupakah kita hakikat yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w menerusi sabdanya:
"Neraka itu dipagari dengan penuh kenikmatan dan keseronokan, manakala syurga itu dipagari oleh ujian dan kesukaran." al-Hadis
Namun aku, kamu dan kita tetap manusia biasa. Hati kita goyah jua di jalan mujahadah. Hati pasti merintih pabila pedih. Jiwa pasti terdera apabila berduka. Namun, kita tidak akan patah di jalan mujahadah. Patah sayap terbang jua. Biar jatuh bertongkat dagu, namun mengalah tetap tidak.
Dalam hidup ini manusia akan berhadapan dengan dua perkara.Pertama perkara yang perlu dilakukan. Kedua, perkara yang suka dilakukan. Dan sudah menjadi sunatullah, kedua-dua perkara itu saling bertindak bertentangan. Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang tidak suka kita lakukan. Dan perkara yang kita suka lakukan adalah perkara yang tidak perlu kita lakukan.
Contohnya, solat subuh. Bila hampir masuknya waktu subuh, perkara yang perlu kita lakukan ialah bingkas bangun, membersihkan diri, bersuci dan terus berwuduk. Itulah perkara-perkara yang perlu kita lakukan. Namun, apakah perkara yang suka kita lakukan?
Ya, diikutkan rasa, kita suka untuk terus tidur dan bersenang-senang. Subuh itu sejuk, gelap, nyaman.. waktu yang paling enak untuk menyambung tidur. Bangun subuh ialah perkara yang perlu, manakala terus tidur ialah perkara yang suka kita buat. Yang mana satu lebih baik? Tentulah sembahyang itu lebih baik daripada tidur. Tapi apa yang nafsu inginkan? Jawabnya tidur!
Jadi lawanlah hawa nafsu. Tidak ada jalan pintas, tidak ada jalan singkat. Tidak ada keajaiban melainkan perlu menempuh jalan susah. Lawan nafsu dan bingkas bangun. Ingat selalu, untuk berjaya dalam hidup, kita mesti lakukan perkara yang perlu kita buat walaupun kita tidak suka. Tidak ada pilihan, paksa diri untuk melakukannya.
Untuk mencapai apa yang diinginakan, kita mesti melakukan perubahan. Kita perlu lebih berusaha, menambah ilmu dan berani melakukan langkah-langkah baru dalam kehidupan.Ringkasnya kita perku bermujahadah dan berubah.
Demikianlah kehidupan, tidak ada yang percuma. Apatah lagi kehidupan di syurga. Justeru, marilah sama-sama kita berpesan agar rela menerima kepahitan yang sedikit dan sementara di sini demi menikmati kemanisan yang banyak dan abadi di sana. Alangkah jahilnya kita jika rela menanggung seksa yang begitu dahsyat dan kekal di akhirat hanya kerana nikmat yang sedikit dan sementara di dunia.
bersambung...
Karya Pahrol Mohd Juoi